Wisma Yakin yang tersergam gagah di sudut Jalan Masjid India sentiasa menjadi tarikan dan tumpuan warga kota yang mementingkan hasil tangan tukang jahit yang berpengalaman dan berkualiti. Kompleks perniagaan dan pejabat 12 tingkat ini telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1976, menjadikannya salah satu bangunan tertua di Kuala Lumpur. Tidak lekang dengan pengunjung terutamanya semasa sambutan perayaan besar seperti Aidil Fitri, Wisma Yakin sememangnya popular sebagai destinasi pembeli yang mencari pakaian tradisional Melayu dan fesyen Islam yang terkini.
Wisma Yakin telah sekian lama menjadi tumpuan kedai-kedai jahit dengan pekerja mereka yang mahir dan berpengalaman yang juga menawarkan harga upah yang berpatutan sejak dulu lagi. Di sini juga terdapat kedai pakaian siap yang menyediakan pilihan jenama yang terkenal dan terkini, kedai buku dan juga kedai menjual kelengkapan ibadah Islam. Tidak hairan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadikannya salah satu tempat membeli-belah yang terkemuka di Kuala Lumpur.
Di hujung minggu dan hari cuti kelepasan, kawasan sekitar Wisma Yakin akan menjadi semakin rancak dengan pengunjung yang tidak putus-putus. Lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan stesen LRT Masjid Jamek serta hanya beberapa minit berjalan kaki ke kawasan membeli-belah popular Jalan Tunku Abdul Rahman akan memastikan kedudukannya sebagai kompleks perniagaan yang harus dikunjungi ramai.
Wisma Yakin akan sentiasa memenuhi kehendak mereka yang mempunyai pilihan yang arif dan mencari sesuatu yang unik kini dan untuk masa yang akan datang.

